Ecoride Launched in Malacca

Sumber: Utusan – Oleh FARHANA JONI dan NABIL BASARUDDIN – 17 Okt

Sektor pelancongan di negeri bersejarah, Melaka dijangka melonjak berikutan pengenalan kereta elektrik dalam kalangan pelancong yang akan dilancarkan selewat-lewatnya awal bulan depan.

Pengerusi Eksekutif CMS Consortium Sdn. Bhd. (Comos), Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pihaknya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri Melaka bagi penggunaan kenderaan elektrik dikenali sebagai Comos EcoRide itu, semalam.

Katanya, MoU itu selari dengan matlamat kerajaan negeri Melaka yang ingin mencapai status negeri bandar teknologi hijau menjelang 2020.

“Langkah kerajaan negeri Melaka ini telah dilaksanakan di Eropah sebagai tarikan pelancong. Kami juga menyasarkan penggunaan di Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya dalam sidang akhbar di Pameran Produk-produk Eco dan Teknologi Hijau Antarabangsa di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Zainal Abidin berkata, pihaknya mengadakan kerjasama dengan Nissan Motor Co. Ltd. (Nissan) dan Renault SA (Renault) bagi mengeluarkan kereta elektrik tersebut.

Katanya, mereka juga mempunyai kerjasama dengan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air iaitu Malaysian Green Technology Corporation (MGTC) dan Institut Automatif Malaysia (MAI) bagi membangunkan industri permotoran negara untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Ir. Ahmad Hadri Haris berkata, terdapat beberapa cabaran pada peringkat awal untuk mengeluarkan kereta elektrik di negara ini termasuk tanggapan masyarakat bahawa harga kenderaan tersebut adalah mahal.